Kembara

Sunday, December 04, 2011
Hidup ini adalah satu kembara....
Kembara mencari sinar cahaya, petunjuk dari Yang Maha Esa. 
"Di dalam hidup manusia, pelbagai perkara berlaku dan terjadi. 
Kehidupan manusia terbina dengan kesenangan, kepayahan, kedukaan, kegembiraan, 
dan 1001 macam perasaan dan situasi.

Sehelai Daun

Sunday, October 16, 2011

Di sebatang pohon kecil, hiduplah beberapa daun yang tumbuh bersama. Diantara daun-daun tersebut terdapat sebuah daun yang sangat besar dan kuat. Daun itu diagung-agungkan kerana kekuatannya. Dialah yang dianggap pelindung bagi daun-daun lainnya dari badai, hujan, panas matahari yang terik, dan bahaya lainnya.

Suatu ketika datanglah musim kemarau yang panjang. Daun-daun di pohon kecil itu mulai layu kerana tidak mendapat air dan makanan. Daun besar yang tadinya kuat dan besar mulai terlihat layu. Ia berusaha melindungi daun-daun lain dari matahari yang bersinar sangat terik supaya daun – daun kecil sahabatnya itu tidak kehilangan air lebih banyak lagi.

Hari berganti hari, daun besar itu sudah sampai pada puncak usahanya. Ia mulai carik – carik sehingga sinar matahari mulai menembusnya. Ia mulai kehilangan kekuatannya dan daun-daun lainnya pun sudah mulai mengabaikannya kerana ia tidak kuat lagi seperti dulu.

Beberapa hari kemudian daun besar itu merasa tidak kuat lagi akhirnya ia berkata kepada sahabat – sahabatnya :

“Sahabat – sahabat aku tidak lagi mempunyai kekuatan untuk melindungi kamu, aku akan gugur. Selamat tinggal”.


Setelah berkata demikian akhirnya daun besar itu pun gugurlah. Musim kemarau terus berlanjutan, daun-daun di pohon kecil itu saling bertahan untuk hidup. 

Mereka sama sekali sudah melupakan daun besar yang telah berjasa melindungi mereka sehingga mereka dapat bertahan sampai sekarang.

Musim kemarau tidak juga berakhir. Daun-daun di pohon kecil itu sudah mulai kehilangan harapan. Mereka merasa sangat kelaparan, kehausan dan akan mati. Di saat mereka putus asa, tiba tiba dirasakan adanya air dan makanan dari tanah. Mereka semua kehairanan akan adanya keajaiban itu

Setelah lama tercari-cari, mereka menyedarinya. Mereka melihat bahawa daun besar itu sudah mereput dan menghasilkan air dan makanan bagi mereka. Akhirnya dengan air dan makanan dari daun besar tadi, daun daun di pohon kecil itu berjaya bertahan sehingga musim hujan datang. Daun-daun di pohon kecil itu sangat menyesal kerana telah melupakan daun besar itu. Padahal sampai akhir hayatnya daun besar itu tetap menjadi penyelamat untuk daun-daun lain..

Renungan : Janganlah menilai seseorang dengan penampilan dan kekuatannya.Allah memberikan bantuan kepada kita melalui sesiapa sahaja bahkan melalui orang yang kita anggap telah jatuh dan hina.Ingatlah rencana Allah itu ajaib dan tidak memilih kasih terhadap semua hambanya

Syukur ?

Tuesday, October 11, 2011
Masih tidak bersyukur?

Berulang-ulang kali disebut di dalam Surah Ar-Rahman - سورة الرحمن

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ


Maksudnya : Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Maka eloklah kita membiasakan diri dengan lafaz :

شكرا الْحَمْدُ لِلَّهِ
 





Syukur kepada Allah di atas segalanya ( dengan lafaz di lidah dan dibuktikan di dalam  kehidupan seharian kita).




Cipta Kemajuan

Kamera & Bapak

Thursday, September 01, 2011



Hargailah orang yang tersayang

Abang,tunggu mak di syurga ya

Tuesday, August 09, 2011

Tiada post baru, just Copy & Paste.Sebuah Artikel yang menarik untuk renungan bersama

****************************** **** ****************************

Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana .

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?

Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.

Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.

Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.

Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.

Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011-  Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.

26 Februari 2011-  Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!

Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,

Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.

Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.

Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011-  Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.

Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.

Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.

Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"

Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.

Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.

13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.

Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.

Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"

Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.

Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"

Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"

Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"

Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.

Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.

Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.

Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!

Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam  abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!

Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.

Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk! 

27 Mac 2011-  Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"

Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011-  Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"

Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.

Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah. 

7 April 2011-  Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini. 

Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.

Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.

Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011-  Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.

Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.

Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.

"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia 

9 April 2011-  Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai. 

Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"

Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.

Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.

Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.

"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."

Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!

Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"

Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"

Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"

Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.

Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat  abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?

Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.

Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.

Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.

Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.

Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.

Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. 
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat  tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).

MAAF

Wednesday, July 13, 2011
Margaret Lee Runback berkata ;
"Meminta maaf umpama haruman yang semerbak; ia mampu menukar saat yang janggal menjadi hadiah yng berharga."

Isk-isk..nampak mudah tapi payah. :-) Betul tak ??

Pasti kita pernah melakukan kesilapan (dan kita mesti meminta maaf), tapi kenapa kita tak memaafkan orang lain atas kesilapan mereka? Kenapa kita perlu bersikap sombong dengan menganggap mereka tak perlu dimaafkan atas sebab mereka pernah menyakiti kita?Bagaimana pula,jika berlaku ke atas kita,tidakkah kita mahu dimaafkan?

Jom,Kita berikan hadiah haruman ini secara ikhlas dan senyuman penuh kasih sayang sambil berkata,"Maafkan saya ...". & "...saya maafkan awak juga".
Kita kawan, kan? (",) 

DOA

Monday, June 27, 2011
"Orang yang beriman adalah bersaudara"

Ringkaskan?

Sanggupkah kita untuk makan 5 kali sehari sedangkan saudara kita hanya makan sehari sekali saja? Bergembirakah kita sedangkan ada saudara kita terlantar di hospital? Patutkah kita meraikan kejayaan di dalam peperiksaan sedangkan saudara kesedihan?

Pastinya TIDAKKKKK !!

Apakah yang patut kita buat sekarang?

Satu perkara yang pasti, berdoa dan memohon kepada Allah agar saudara-saudara kita juga memperolehi apa yang dihajati.

Kita boleh melakukannya !!

"Doa secara rahsia yang dipohon oleh seorang Muslim untuk saudaranya akan dimakbulkan.Ada malaikat di sisinya setiap kali dia berdoa bagi saudaranya, yang berkata : amin dan yang sama untukmu."    -(Muslim)

"Seseorang yang bijak sentiasa mengingati saudaranya; seseorang yang bodoh hanya mengingati saudaranya sewaktu berada dalam kesusahan."

Jom kita beramal.

Marilah kita semua panjatkan doa untuk satu sama lain, memohon kebaikan dan kejayaan bukan sahaja untuk diri kita malah untuk semua saudara kita.

LANGKAH

Tuesday, June 21, 2011
Kata-kata Emily Kimbrough

"Ingatlah, kita semua boleh tersilap langkah.Itulah sebabnya lebih baik jika kita berjalan beriringan tangan"

Pasti,kita semua pernah tersilap langkah dan akhirnya terjatuh.Inilah sebabnya mengapa kita perlu berjalan beriringan dan berpegangan tangan, agar kita boleh membantu sahabat kita sekiranya mereka tersilap langkah dan terjatuh.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda
"...jika seseorang itu memenuhi keperluan saudaranya, Allah akan memenuhi keperluannya; jika seseorang itu meringankan beban saudaranya, Alllah akan meringankan bebannya di akhirat kelak"

Menarik bukan ? 
Apa salahnya kalau kita membantu sahabat kita ?

Memang tak rugi langsung ! Malah kita mendapat keuntungan yang berlipat ganda dengan hanya menolong mereka.

JOM KITA BERAMAL

Pelacur Kelas Atasan?

Tuesday, June 07, 2011
"Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi".

Inilah 'peringatan' daripada seorang wanita yang bernama Dr. Rohaya Mohamed, seorang doktor yang mengeluarkan kenyataan berlandaskan paksi kejahilan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau jelas menghina nak merendahkan martabat wanita yang telah ditinggikan oleh Islam sejak hamba-Nya, Muhammad SAW diutus menjadi Rasul.

Menyamatarafkan isteri sebagai pelacur kelas pertama jelas mengguris perasaan wanita khususnya dan umat Islam umumnya. Islam mewajibkan isteri melayan suami untuk menggapai redha Allah SWT dengan cara yang halal dan mulia. Tetapi pelacur melayan lelaki yang menjadi pelanggannya semata-mata kerana wang. Perbezaan redha Allah dan wang ringgit jelas dan bagaikan langit dengan bumi!

Perkahwinan juga bukanlah semata-mata kerana seks, tetapi perkahwinan adalah sebagai perkongsian hidup, saling lengkap-melengkapi, dan soal berkasih-sayang yang akan dibawa dan dipertanggungjawabkan di hari pembalasan. Mana mungkin si isteri melayan si suami seperti pelacur kelas pertama, kerana bidang pelacuran tidak menitik beratkan elemen-elemen yang dinyatakan tadi!

Maksud hadis: Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Pada suatu waktu ketika aku sedang haidh, aku minum. Kemudian gelasku kuberikan kepada nabi s.a.w, baginda baginda meletakkan bibirnya di bekas mulutku lalu baginda minum pula. Pernah ketika aku sedang haidh, aku makan sepotong daging. Setelah kugigit daging itu kuberikan kepada nabi s.a.w lalu baginda menggigitnya pula dibekas gigitanku.
[Muslim]
Adakah pelacur kelas pertama akan melakukan perkara seperti hadis di atas? Hadis di atas jelas menunjukkan kemuliaan si isteri, bukan kemuliaan si pelacur kelas pertama.

Sudah jelas lagi bersuluh, walaupun beliau itu bergelar doktor, ia masih dipasung dengan kejahilan tatkala sekularisme didaulatkan dalam kehidupan. Pemikiran-pemikiran 'ilmuwan' seperti ini tidak boleh dijadikan panduan kerana mereka ini secara jelas telah didoktrin dengan doktrin-doktrin kapitalis. Tambahan pula, kenyataan beliau seperti menunjukkan beliau memiliki 'otak porno'.

Islam tidak pernah menyamakan layanan yang terbaik itu sebagai layanan pelacur kelas pertama. Bahkan pelacur itu sendiri dilaknat oleh Allah SWT. Layanan yang terbaik itu telahpun diajar oleh Nabi SAW, dan bukan berpaksikan kepada layanan seperti pelacur kelas pertama.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:” Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya. ”
[HR al-Bazzar]

*****
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :”Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.”
[HR Muslim]
SUMBER KENYATAAN: 'Layan Macam Pelacur'

rujukan : soutulmujahid

(*_^)

Sunday, June 05, 2011




SEKUPANG @ RM 1

Monday, May 23, 2011
Kita selalu berjumpa atau nampak insan-insan istimewa datang mohon sedekah.

Pandangan pertama::
          Nak bagi(duit) ke tidak???
Pandangan kedua::
         Tiada tempat lain ke nak minta sedekah?
Pandangan ketiga::
         Mereka ini betul2 ke ****?
Pandangan keempat:: 
Tak perlu bagilah.

Kebanyakan kita semua selalu bersikap prejudis macam ini kan? 
@Tak nak bagi duit?
::Bagi je sekadar mampu(ikhlas)::
@Tak ada tempat lain nak minta sedekah?
::Sudah jodoh kita nak jumpa dengan mereka kan!::
@Betul ke mereka ini ****?
::Betul lah, takkan mereka sanggup berjalan sambil pejam mata pula::
@Tak nak  bagi?
::Kalau cash habis, kad ATM kan ada!::

Jadi, elakkan rasa was-was mahupun curiga. Sebenarnya, kita patut bersyukur & berterima kasih.Takpayah nak jalan jauh-jauh nak dapatkan PAHALA :-). Terpulang kepada individu nak bagi berapa, 10sen? 20sen?
::Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima::
Kita tidak akan tahu ganjaran Allah kepada kita nanti, setara dengan formula di bawah, 10sen=RM1.00.
::Fikir2 kan dan selamat beramal::

Setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh anak adam akan digandakan sepuluh kali

Selamat Hari Guru

Saturday, May 14, 2011
"Selamat Menyambut Hari Guru" kepada semua barisan pendidik serta pengorbanan yang dilakukan mereka selama ini tidak dapat dibalas.
Kelangsungan generasi masa hadapan bergantung kepada Perjuangan para guru 
Gurulah yang mampu membangkitkan momentum perjuangan ke arah  melahirkan masyarakat yang mengharapkan keredhaan Ilahi

SELAMAT HARI GURU

Doa Ibubapa

Sunday, May 08, 2011

Ya Allah ya Tuhan ku,
Aku menghulurkan kedua tanganku yang hina ini
Memohon Engkau limpahkan rahmat dan hidayahMu
Terasa terlalu lemah diri ini tanpa pertolonganMu
ya Allah

Ya Allah
Segala pujian bagiMu Tuhan Sekelian Alam
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Tuhan Pemerintah hari pembalasan
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan kepadaMu kami
memohon pertolongan

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
Jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat keatas mereka
Bukannya jalan orang yang Engkau murkai
Dan bukan pula orang-orang yang sesat

Ya Allah Ya Zaljalaaliwalikrom
Ampunkan dosa-dosa ku kepada Mu ya Allah
Aku terlalu lemah dengan godaan syaitan
Aku masih melakukan maksiat walaupun ku tahu ianya
Engkau murkai
Aku masih lalai dalam ibadat walaupun ku tahu
ianya Engkau tuntuti

Ya Allah
Teguhkanlah iman ku, kuatkanlah hatiku,
Kurniakanlah kepadaku hidayahMu, taufiqMu dan lindunganMu
Jauhilah aku dari segala laranganMu
Dekatkanlah aku dengan segala suruhanMu
Tanamlah rasa benci dihatiku kepada maksiat
Tanamlah rasa cinta dihatiku kepada ibadat

Ya Allah, Ya Rahim, Ya Karim
Jadikanlah aku hambaMu dan umat Muhammad SAW yang beriman kepadaMu
Dan berbakti kepada kedua ibubapaku

Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibubapaku
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku kecil
Bukakanlah pintu hati mereka untuk beriman kepadaMu
Aku terlalu banyak terhutang budi kepada mereka

ya Allah
Terlalu banyak budi mereka yang ku balas dengan menyakiti hati mereka
Kasih sayang mereka kubalas dengan kata-kata menentang
Sedangkan ku tahu, Englau melarang menyebut
walaupun perkataan "ah" kepada mereka.
Didikan dan asuhan mereka aku ambil ringan

Aku lupa ya Allah, berkat usaha, asuhan dan didikan merekalah
Aku berjaya kini
Keselesaan sanggup dilupakan ketika mengandungkan aku
Kesakitan yang amat sangat sanggup dilalui ketika melahirkan aku
Tidur malam mereka aku ganggu
Titik peluh mereka basah kering demi membesarkan aku
Tidak pernah mereka mengadu letih
Tidak pernah mereka mengadu sakit
Lauk yang dimulut sanggup mereka luah untuk diberikan kepadaku
Harta yang dikumpul sanggup dilepaskan untuk pendidikanku
Namun selama ini aku lupa semua itu ya Allah
Kerana mereka tidak pernah merungut kepadaku ya Allah
Kerana mereka tidak pernah mengadu kepadaku ya Allah

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Dimalam ini aku terkenang semua itu
Dimalam ini aku mengadu kepadaMu ya Allah
Dimalam ini aku memohon sepenuh hati kepadaMu ya Allah
Rahmatilah mereka, ampunilah dosa-dosa mereka,
Dan sekiranya ketika ini mereka Engkau siksa didalam kubur ya Allah
Aku memohon agar Engkau hentikanlah ya Allah
Aku memohon agar jangan Engkau siksa ibubapaku ya Allah
Aku tahu ya Allah
Mereka terlalu lemah dan tidak mungkin dapat menahan siksaanMu
Yang amat pedih itu ya Allah

Perkenankanlah doa ku ini dan jadikanlah ini doa anak yang soleh
Yang Engkau janjikan akan diperkenankan ya Allah
ya Tuhanku

Maha Suci Allah Yang Maha Besar
Engkau jadikanlah anak-anak ku dari orang-orang yang soleh
Yang mendoakan keampunanku daripadaMu ya Allah
Jadikanlah mereka sebagai anak kunci pintu syurgaku ya Allah
Dan jangan Engkau jadikan mereka anak kunci ku ke nerakaMu
Teguhkanlah iman mereka ya Allah
Jauhilah mereka dari siksaMu ya Allah
Tuhan Sekelian Alam.
Amin.