Kenapa Cahaya Malap

Monday, June 02, 2008
Ada di kalangan teman-temanku yang mengadu masalah padaku; bermacam-macam masalah yang aku dengar. Pelbagai lagak dan perangai manusia yang aku pelajari. Tersentuh juga hatiku apabila mendengar kisah sedih yang banyak berlaku dalam masyarakat kita. Tambah menyedihkan lagi dan merunsingkan aku, sungguh, apabila ramai sungguh yang dalam masyarakat melihat dugaan dan kesusahan dengan kacamata yang salah, seterusnya menanggapi kesusahan itu dengan sikap yang terlalu negatif. Memang benar, ujian dan dugaan dalam hidup adalah merupakan bebanan yang amat berat. Namun, bukanlah tidak ada jalan keluarnya. Aku terdetik menulis artikel ini sebagai peringatan buat diriku, dan juga sebagai bekal nasihat buat teman-temanku yang membaca.

Tatkala gerhana menyelimuti cahaya mentari
Manusia jahil itu kebingungan di siang hari
Kegelapan yang tidak pernah terjadi
Tiba-tiba menyapa di waktu pagi
“Apakah malapetaka yang telah menimpa?”
Teriakan mereka dalam kebingungan hati
Lalu hadir sang pendeta menyampaikan kebenaran
Bahawa kegelapan itu hanya seketika mengambil giliran
Yang namanya gerhana itu tanda kekuasaan Tuhan
Datang sementara tidak kekal berpanjanganMaha Agungnya Tuhan...

Aku jadi terfikir kepada satu situasi gerhana, yang dialami oleh sekelompok manusia yang tidak pernah mengalami gerhana, tidak tahu apa itu gerhana. Lalu gemparlah manusia-manusia itu apabila tetiba berlaku gerhana. Walhal, gerhana itu hanya seketika sahaja. Di sebalik gerhana itu, matahari terus memancarkan sinarnya. Beruntunglah orang-orang yang melihat gerhana itu sebagai tanda kekuasaan Allah, dan amat rugilah mereka yang memandang gerhana itu lalu kekalutan, dan beranggapan bulan yang melindungi matahari itu sebagai sumber Kekuasaan.

Begitulah dalam hal permasalahan yang kita hadapi dalam kehidupan seharian. Mungkin benar bahawa untuk menulis dan berbicara lebih mudah daripada menghadapi sendiri permasalahan itu; tetapi andai tidak ada penulisan dan pembicaraan, bagaimanakah nasihat dan panduan berguna buat mengharungi masalah kehidupan akan disampaikan? Marilah kita gunakan instrumen paling berharga yang ada pada kita – akal – untuk kita memikirkan dengan rasional, hati lapang, akan permasalahan yang sedang kita hadapi dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Apabila manusia tidak menggunakan potensi akal yang Allah kurniakan kepada manusia, maka manusia akan hilang pertimbangan dan akan cenderung untuk melakukan keputusan-keputusan yang salah. Antara ciri-ciri pemikiran biasa, seperti ditulis dalam buku Puan Ainon Mohd. & Prof. Abdullah Hassan, adalah pemikiran biasa ini cenderung untuk melakukan ‘generalization’. Maksud ‘generalization’ di sini adalah pemikiran biasa cenderung untuk menghukum berdasarkan pengalaman-pengalaman peribadi yang kadang-kadang sedikit. Walhal, setiap permasalahan itu unik. Kemudian, pemikiran biasa juga cenderung untuk melihat masalah daripada sudut yang salah; dalam erti kata lain, bukanlah masalah sebenar yang dikenalpasti. Apabila masalah sebenar gagal dikenalpasti, maka punca permasalahan yang sebenar juga akan gagal dikenalpasti dan akhirnya keputusan penyelesaian masalah juga tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah.

Apabila berhadapan dengan dugaan dan ujian dalam hidup, manusia memang cenderung untuk menjadi emosional. Pada hematku, itu bukanlah sesuatu yang salah kerana emosi memang ada tempatnya dalam kehidupan kita. Kalau tidak, untuk apa Tuhan memberikan kepada kita emosi? Walau bagaimanapun, dalam hal membuat keputusan dan tindakan untuk menyelesaikan masalah, kita harus menggunakan kekuatan akal yang didasari kekuatan ilmu yang benar yang sumbernya daripada Allah S.W.T. untuk memandu emosi tersebut.

Kita harus memahami bahawa perjalanan kehidupan kita di dunia ini adalah satu ujian, untuk melihat siapakah di antara manusia-manusia ini yang paling baik amalannya untuk kelak diganjari oleh Allah S.W.T. di alam yang kekal abadi yakni di akhirat kelak. Fahaman ini tidak diajar dalam mana-mana teori Barat, justeru sesiapa yang berusaha untuk mencari penyelesaian masalah daripada mana-mana falsafah atau pengajaran Barat tidak akan menemui teori ‘kehidupan selepas mati’ ini dalam konteks yang begitu sempurna sepertimana yang diajar oleh Islam. Memahami tasawwur Islam (pandangan alam Islam) yang benar ini adalah penting kerana apabila kita telah menanggapi bahawa seluruh kehidupan di dunia ini adalah ujian, setiap cubaan dan dugaan yang hadir akan mampu kita tangani dengan baik.


Untuk menangani segala bentuk dugaan dan cabaran, tidak ada formula lain selain kembali kepada agama. Pemerkasaan elemen spiritual dalam diri individu, yang bermaksud pemerkasaan hubungan dengan Allah S.W.T., adalah perkara pokok bagi membantu seseorang itu menghadapi apa sahaja dalam kehidupannya, sama ada kesusahan dan kesenangan. Dalam hal ini, Al-Fadhil Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwy menyatakan bahawa ujian yang akan dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk yakni ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Oleh sebab itu, walau apa pun bentuk ujian yang melanda, perkara pokoknya adalah kita sentiasa redha dan bersyukur kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. (yang lebih kurang maksudnya):
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
Oleh sebab itu, kita perlu memahami bahawa ujian dan dugaan itu adalah pasti. Apabila itu sudah difahami, maka yang penting selepas itu adalah bagaimanakah caranya kita hendak menanggapi dan mengharungi ujian yang diberikan. Apabila berhadapan dengan ujian, apa yang perlu kita lakukan bukanlah untuk melarikan diri daripada masalah itu yang akhirnya kelak akan hanya melambakkan lagi ‘koleksi’ masalah kita. Oleh sebab itu, adalah elok sekiranya kita menanggapi setiap ujian dan dugaan yang hadir dalam kehidupan kita itu daripada dua sudut. Pertamanya, kesusahan dan kesulitan yang Allah S.W.T. timpakan kepada kita itu, kita anggap sebagai penebus kepada dosa-dosa kita. Kedua, kita anggap kesusahan dan kesulitan itu sebagai latihan langsung daripada Allah S.W.T. untuk meningkatkan lagi kualiti keimanan kita.
Sebagai manusia, kita diberikan oleh Allah S.W.T. dengan kemampuan untuk membuat pilihan. Apabila dikatakan bahawa kesusahan dan dugaan yang Allah S.W.T. berikan itu adalah ujian, hal itu bertujuan untuk menguji adakah kita akan redha dan sabar dengan ujian yang diberikan atau adakah kita akan mengambil sikap putus asa dengan Rahmat Allah S.W.T.?
Firman Allah S.W.T. (yang lebih kurang maksudnya):
“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams: 8-10)
Sesungguhnya pilihan itu terletak di tangan kita. Adakah dugaan dan ujian yang kita hadapi akan kita jadikan alasan untuk putus asa dengan Rahmat Allah, seterusnya menjauhkan diri kita daripada-Nya? Atau adakah ujian dan dugaan itu akan kita tanggapi dengan jiwa besar, dengan penuh rasa redha dan ketundukan kepada Allah S.W.T., yang akhirnya akan mengangkat martabat keimanan kita ke tahap yang lebih tinggi? Ingatlah bahawa di akhirnya kelak yang akan dinilai adalah amal-amal yang kita lakukan di dunia ini, timbang tara antara dosa dan pahala yang akan menjadi bahan timbangan.

Ingatlah wahai temanku dan juga diriku, bahawa mentari cahayanya malap kerana gerhana yang sementara. Gerhana itu daripada Tuhan. Akhirnya, andai kita bersyukur dan redha atas segala-gala


1 comment:

Anonymous said...

so sweet... thanks so much dear fren..."cenderung untuk menjadi emosional" ini yang selalu sgt jd kt hamba Allah sorang ni... thanks for ur words... kadang2 kita ni suka merungut, sebab ms tu emosi kita tgh tak stabil, sedangkan ada lagi org lain yang lagi kesian... so i wanna share wif u dis video. best tau : http://www.youtube.com/watch?v=Fh_uwXKJvSk

perasan atau tak, fiza dh delete kebykan cerita2 lepas sebb nk mula tulis suatu yang baru...thanks again ek...