Pembela Serah 701822 Tandatangan Bantah IFC dan Kumpulan Artikel 11

Thursday, October 05, 2006

Gabungan Petubuhan Pembela Islam (Pembela) telah meneruskan usaha mempertahan kedudukan dan kesucian Islam di Malaysia dengan menyerahkan 701822 tandatangan umat Islam yang membantah usaha kumpulan Artikel 11 memburukkan imej Islam dan kewujudan kumpulan Interfaith Commision (IFC) kepada pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu di Jalan Bukit Petaling hari ini.Tandatangan yang dikepil dalam salinan beberapa jilid buku bertajuk 'Tandatangan Sokongan Rakyat Mempertahan Kesucian Islam' itu diserah kepada wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Dato' Sabtu Awab di pejabatnya jam 11.00 pagi tadi. Turut hadir ialah, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad; Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Khairul Arifin Mohd Munir; Pengerusi Persatuan Cina Muslima Malaysia (Macma), Dato' Mustapha Ma; Presiden Persatuan Peguma Syarie Malaysia, Zainur Rijal; Pengerusi Yayasan Pembangunan Ummah, Anuar Tahir dan Wakil Peguam Pembela Islam (PPI), Kamar Ainiah.

Dalam sidang media selepas pertemuan dengan wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-raja itu, Pengerusi Pembela, Yusri Mohamad berkata, tandatangan itu dikumpul sejak 16 Julai lalu ketika isu IFC dan Artikel 11 hangat diperkatakan.

Pembela telah memulakan inisiatif mengumpul tandatangan bagi membantah penularan fahaman kebebasan agama secara total oleh kumpulan tersebut dan mahu kerajaan serta pihak Majlis Raja-raja Melayu secara serius mempertahan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini, katanya.

"Kita tidak mahu ada pihak yang bukan mewakili Islam dan bukan Islam mempertikai kedudukan Islam kerana hak dan kedudukan Islam telah dipersetujui secara bersama dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Sementara itu beliau turut menyatakan Pembela akan menyerahkan tandatangan yang sama serta memorandum kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya petang ini.Beliau menyeru umat Islam berkumpul di hadapan pejabat Perdana Menteri jam 3.00 petang ini bagi menyokong tindakan Pembela dan NGO yang bergabung di bawahnya.

No comments: