Forum Shariah dan Isu Semasa yang berlangsung pada 23 Julai 2006 di
Masjid Wilayah, Kuala Lumpur mendapat sambutan luar dugaan dan melebihi
ruang dewan yang disediakan oleh pihak penganjur. Berikut adalah
RESOLUSI FORUM tersebut:
Kami, yang berkumpul di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada hari ini untuk
membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem Syariah di Negara
ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha pihak yang sedang cuba
meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan dengan berselindung
di sebalik nama Kumpulan sekular ini tidak mendapat sokongan bagi
membawa agendanya di kalangan besar masyarakat Malaysia, perjuangan
mempertahankan hak-hak asasi. Usaha-usaha ini merupakan satu langkah
untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun lalu di mana
Syariah diterimapakaikan di dalam kehidupan individu dan masyarakat di
negara kita.
Kami juga bimbang dengan ruang yang diberikan kepada usaha-usaha negatif ini dalam media masa tempatan dan antarabangsa walaupun pandangan ini hanya merupakan suara-suara
terpencil dan pinggiran berbanding dengan faham dan penghayatan majoriti
umat Islam.
Kita bimbang mungkin usaha negatif ini didalangi oleh unsur-unsur luar negara yang berhasrat melumpuhkan Islam. Situasi ini pasti akan bertambah buruk jika pandangan-pandangan liar ini turut dilayan oleh pihak-pihak yang berwewenang dalam negara kita. Sekiranya masyarakat Islam tidak cukup prihatin dan peka terhadap perkembangan ini mereka akan terus menyalah-gunakan saluran perundangan untuk mencapai matlamat mereka.
Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Wilayah untuk
Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 23 Julai 2006 bersetuju dengan
resolusi berikut:
1.Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan
dan sistem perundangan Negara. Ia turut merupakan hak asasi umat Islam
di negara ini. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan
pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia
ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus
dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.
2. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang berkaitan dengan
Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk
menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.
3. Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam
mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.
4. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap
martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di
setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.
5. Menuntut agar dihentikan segera semua percubaan usaha merombak dan
menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan
Negara. Mana-mana ketidakpuasan hati berkenaan dengan Islam harus
disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti.
Pendekatan konfrontasi melalui ”roadshow” (majlis penerangan ) dan
pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam
ketenteraman masyarakat.
6.Kita menuntut media aliran perdana mengambil pendirian tegas dan
tidak berpihak dalam isu-isu berkaitan Islam dan tidak mempelopori pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan amalan Islam adalah hak peribadi. Kita menuntut pihak media memberi ruang kepada pihak Islam
untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana (”mainstream”) Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap professional dan beretika di dalam lapuran dan analisa mereka mengenai
Islam.
7.Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.
8. Semua Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah
Persekutuan) hendaklah meluluskan segera enakmen/akta yang menghalang
dakyah bukan Islam kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah
melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.
9. Kerajaan hendaklah menetapkan pendirian untuk menolak usaha-usaha
barat dan badan–badan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan
NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk
mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.
10. Ada di kalangan pemimpin Muslim yang menyuarakan pandangan yang
menyokong kelompok yang mengatakan amalan Islam adalah hak individu dan
undang-undang moral tidak harus dilaksanakan di Malaysia. Kenyataan
seperti ini amatlah dikesali kerana undang-undang moral di dalam Islam
di Malaysia telah merupakan intipati kepada undang-undang di Semenanjung
Malaysia jauh lebih dahulu sebelum kedatangan penjajah-penjajah.
11. Majlis Peguam Malaysia yang mewakili lebih 12,000 peguam di
Semenanjung telah mengambil pendirian berpihak tanpa mengambilkira
pandangan peguam Islam yang membentuk lebih dari 40% dari jumlah
keseluruhan peguam. Majlis Peguam Malaysia atas nama hak asasi manusia
telah mencampuri urusan agama Islam dan ini bertentangan dengan matlamat
Majlis Peguam ditubuhkan dan kita menuntut Majlis Peguam sebagai penjaga
kedaulatan undang mematuhi undang-undang negara ini.
No comments:
Post a Comment