Kes Lina Joy: Umat Islam dinasihat jangan percaya khabar angin

Sunday, September 17, 2006
Umat Islam diminta bertenang dan tidak mempercayai khabar angin melalui khidmat
pesanan ringkas (SMS) dan internet yang menghebahkan bahawa kes tuntutan
Azlina Jailani atau Lina Joy untuk membatalkan perkataan Islam dalam
MyKad memihak kepadanya.



Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (Forkad), Ustaz Ridzuan Mohd Nor
berkata, setakat ini tidak ada lagi sebarang keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.



"Forkad berasa dukacita dengan penyebaran khabar angin itu. Ini kerana
sejak semalam akibat berita tersebut Forkad banyak menerima panggilan
dari orang ramai bertanyakan mengenai berita tersebut," katanya yang
menghubungi sebentar tadi.



Menurutnya perkara ini juga disah tidak benar oleh peguam pemerhati kes
Lina Joy.



Katanya lagi, beliau bimbang khabar angin tersebut adalah satu perancangan yang diatur oleh musuh Islam supaya pendokong Islam lemah dalam perjuangan.



Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam berdoa untuk memastikan kes tersebut berpihak kepada umat Islam.



"Forkad berharap umat Islam berpuasa sunat pada hari Isnin ini dan mendirikan solat hajat di masjid dan surau malam keesokannya," katanya sambil meminta mereka yang tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran khabar angin tersebut.

No comments: