Hidup Perlukan Cabaran

Sunday, February 22, 2009


Suatu hari Armin duduk di tingkap melihat sebiji kepompong tergantung-gantung pada ranting pokok bunga. Kanak-kanak berusia lapan tahun ini memerhatikan lubang kecil yang terdapat pada kepompong tersebut. Setelah beberapa jam menanti, keluar kaki-kaki halus seekor rama-rama dari lubang berkenaan. Tanpa berputus asa rama-rama menolak badannya keluar tapi kelihatan amat payah sekali untuk meloloskan diri. Akhirnya rama-rama itu berhenti . Ia tidak berdaya lagi. Kasihan melihat serangga itu, Armin mengambil gunting dan membesarkan lubang kepompong tersebut. Keluarlah seekor rama-rama cantik tapi sayapnya terkatup. Amin menanti rama-rama itu mengembangkan sayap yang bewarna kuning, biru dan hitam. Dia tidak sabar hendak melihat serangga berkenaan terbang dari kuntuman bunga ke bunga yang lain untuk menghisap madu. Tapi apa yang Armin harapkan tidak tertunai. Rama-rama itu terlalu lemah. Ia hanya boleh merayap dari ranting-ranting, mengheret badannya yang besar penuh sukar. Akhirnya ia jatuh ke tanah.


Saudara…
Niat Arman memang baik tapi kanak-kanak itu tidak faham fitrah perjalanan hidup ini. Secara semula jadinya rama-rama memerlukan masa berjam-jam sebelum berjaya keluar. Pergelutan itu adalah proses semula jadi supaya badan dan sayapnya cukup kuat apabila bebas dari kepompongnya. Rama-rama yang keluar dari kepompong sebelum sampai waktunya samalah seperti bayi yang lahir tidak cukup bulan. Begitulah kehidupan ini.Perjuangan dan tekanan itu amat penting. Jika semuanya berlaku dengan mudah tanpa sebarang rintangan, ia akan membuatkan kita lemah. Kita tidak akan menjadi kuat, matang dan bertenaga untuk mengharungi hidup ini. Malah kita tidak boleh terbang langsung.

Oleh itu,jadikanlah setiap rintangan sebagai satu peluang untuk kita terus mengorak langkah positif dalam menghadapi hidup.

dipetik dari iluvislam.com

Selawat Tafrijiyah

Saturday, February 21, 2009
Taman yang indah ialah yang dihiasi dengan pelbagai bunga. Jika hanya satu jenis bunga, tidak berseri taman. Begitu lah indahnya Fiqh Islam dengan kepelbagaian pandangannya. Terserah kepada kitalah untuk memetik mana satu bunga pilihan kita. Yang tidak kita petik, jadikan ia hiasan mata kita. Itu pun jika kita mampu memetik. Jika tidak mampu memetik, jadikan ke semuanya sebagai hiasan mata.

Pisang

Wednesday, February 18, 2009

Siti, guru kelas PASTI menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Siti. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Siti sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Siti. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Siti.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci. Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

CERITA SEEKOR KUDA DAN SEMUT

Monday, February 16, 2009

PADA suatu hari, seekor kuda sedang beristirehat kerana merasa kepenatan setelah memikul barangan yang membebankan.

Beban yang cuma sebesar setengah daripada punggungnya itu telah diletakkan dipunggungnya oleh majikan kuda itu.

Perjalanan yang begitu berat ditambah pula hari yang begitu panas terik, maka kuda itu pun beristirehat di pohon rendang, dengan nafas yang termengah-mengah dan mulutnya berbuih-buih.

Ketika kuda itu sedang beristirehat tidak sengaja lalulah segerombolan semut yang kelihatan sedang bernyanyi-nyanyi dengan riang gembira sambil membawa makanannya juga.

Sambil membawa beban masing-masing, ada yang membawa bangkai, tulang-tulang binatang termasuk cebisan-cebisan ayam dan sebagainya lagi.
Kuda itu itu terasa kehairanan apabila melihat segerombolan semut itu senang hati dengan riang gembira bernyanyi-nyanyi.

Semut juga melihat kuda terduduk dalam keadaan kepenatan.
Sebaik sahaja menghapiri kuda tersebut, pimpinan semut itu bertanya kepada kuda, “hai kuda, apa yang sedang kau lakukan di sini.”

“Saya sedang berehat wahai semut,” jawab kuda.

“Kenapa kau kelihatan begitu penat sekali,” tanya semut lagi.

“Itulah dia saya begitu penat sekali sebab membawa beban ini, beban yang tidak sebesar badanku ini tapi tersangatlah penat bagiku,” jawab kuda itu lagi.

Maka semut itu pun bertanya, “punya siapakah beban yang kau bawa itu, wahai sang kuda?”

Maka kuda pun menjawab, “punya bosku yang ada di sana yang sedang minum dan makan-makan di bawah pohon itu.”

“Oh begitulah ceritanya,” kata sang semut tersebut sambil tersenyum.. Sang kuda berkata, “eh! Kamu semua kenapa begitu gembira?” kata sang kuda kepada sang semut tadi.

“Kami memang begini setiap hari. Kami juga membawa beban yang berat bahkan lebih berat dari badan kami tetapi kami rasa gembira sekali.”

“Kenapa boleh jadi begitu ya?” tanya sang kuda dengan rasa hairan.
Ketua semut itu diam sejenak lalu berkata: “Barangkali kerana kita mempunyai jurang perbezaan wahai kuda.”

“Apa itu perbezaannya?” tanya kuda.

“Kamu membawa beban yang berat tetapi beban yang berat itu bukan kepunyaanmu, punya majikanmu yang sedang makan minum di bawah pohon sana sedangkan kami semua membawa beban memang lebih besar daripada badan kami tetapi beban-beban ini adalah punya kami sendiri, bukan punya bos kami,” demikian penjelasan semut itu.

Kuda itu termanggu-manggu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetap seekor kuda.

Apa moral dari cerita ini, barangkali kita pernah mendengar: “Saya tidak pernah berhenti, saya tidak akan menyerah.” Mengapa orang-orang yang sudah punya penghasilan yang begitu besar tidak pernah penat, tidak pernah menyerah.

Jawapannya cuma satu kerana mereka membawa beban yang dimiliki oleh mereka sendiri, bukan milik orang lain. Ini juga adalah ciri yang paling jelas mengenai perbezaan antara orang yang menjadi usahawan dengan orang yang bekerja makan gaji.

Jangan Bersedih atau Terkilan

Thursday, February 05, 2009
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.