Siapa yang peduli?

Friday, December 18, 2009
Ini adalah realiti dan pernah dialami hampir semua orang. Semasa dalam pembinaan, hanya kali pertama sahaja ada keinginan ingin tahu. Selepas itu sudah tidak peduli lagi sehinggalah suatu hari 'tiba-tiba' bangunan yang cantik muncul entah dari mana-mana.
Soalnya, benarkah ia tiba-tiba? Bukan tiba-tiba tetapi kerana selama ini kita tidak pernah peduli atau ambil tahu dengan pembinaan yang sedang dijalankan. Kenapa kita tidak pernah ambil tahu? Kerana memang itu sikap semula jadi kita manusia.Bahawa sesungguhnya, sikap semula jadi manusia ini tidak pernah mahu tahu atau enggan percaya selagi tidak wujud di depan mata. Semasa dalam pembinaan (termasuk pembinaan diri dan kejayaan) tak akan ada sesiapa yang mahu percaya dan peduli. Cakaplah apa saja, orang mungkin hanya mengangguk tetapi selepas itu tidak peduli atau melupakannya sahaja.

Zaman sekarang, zaman dahulu, orang muak dengan cakap-cakap sahaja. Bahkan diri kita sendiri menjadi muak dengan cakap-cakap kita sendiri. Kita hanya kagum dengan hasilnya sahaja. Kita hanya mengkagumi hasil, tidak pernah mengkagumi cakap-cakap atau sesuatu yang masih dalam pembinaan.

Bagaimana mengatasinya? Tak payah cakap-cakap. Hentikan cakap-cakap, sebaliknya tumpukan terus kepada pembinaan. Komitmen hanya satu: bina sampai siap, bukan setengah siap. Apabila sudah siap, terbukti di depan mata, hasil itu akan 'bercakap' dengan sendirinya. Anda boleh bercakap dari timur ke barat, heboh memberitahu umum, nak beli Ferrari. Orang akan angguk atau mencebik. Selepas itu, selepas bertahun kemudian, imej anda akan menjadi buruk jikalau hanya mampu membeli model Ferrari di stesen minyak. Orang yang akan mencemuh. Cakap apa pun orang tidak percaya. Itulah kesan buruk dari cakap-cakap.

Kita lihat sebaliknya: tahan sahaja mulut dari bercakap, sebaliknya biarkan "cakap-cakap" itu sentiasa berulang-ulang di dalam diri setiap hari sebagai mengingatkan "mesti beli Ferrari". Tak keluar di mulut tetapi hanya bergema di dalam diri. Sampai masa, cukup kemampuan, anda membeli Ferrari. Lihat dan dengar sendiri bagaimana Ferrari itu 'bercakap' bukan anda yang bercakap. Cakap sendiri mungkin tak laku, tapi 'cakap' Ferrari itu lebih laris.

Begitu juga, jikalau anda sedang membina banglo. Hanya apabila banglo tersebut telah siap, barulah banglo itu 'bercakap' sendiri. Begitu juga dalam hidup ini. Sepanjang hidup ini adalah pembinaan. Tidak perlu untuk menghebahkan pembinaan itu melalui 'cakap-cakap'. Jika cakap itu penting sangat, tunggulah, hasil pembinaan itu akan 'bercakap' sendiri. Mana satu cakap yang laku? Cakap mengenai pembinaan atau cakap mengenai hasil?

Memang begitulah hakikat di muka bumi ini. Manusia hanya hendak melihat hasilnya dan lebih percaya jikalau hasilnya terbukti di depan mata. Hasil yang 'bercakap' bukan pembinaan yang 'bercakap'. Cakap pembinaan tidak laku, apatah lagi cakap-cakap tanpa pembinaan.

Jadi, supaya diri kita sendiri tidak merosakkan diri kita sendiri, 'kunci' mulut dengan rapat dan teruskan pembinaan.

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Cantik blog baru..design bertukar ye.. :)

Anonymous said...

salam

mekasih.thn baru.tempalte br gak le :)