PPSMI: Kisah Pelajar Luar Bandar

Friday, March 20, 2009
sempena PPSMI (",)

"Hah...Mama dah carikan kerja untuk hang. Jadi cikgu kat sekolah kawan Mama. Mau?" kata mak aku semasa kami dalam kereta, pulang ke Kedah dari KMB setelah aku tamat belajar di situ sekitar 2004.

Aku memandang kosong ke luar tingkap kereta. Warna merah senja masih lagi di situ, belum pudar. Cantik!"Ma...malaih lah. Kalau boleh oghang nak gheja macam Tu'ai, jadi maintainer kat kelab bowling kat City Plaza tu. Best sket." aku menjawab malas sambil mataku menjeling kepada Tu'ai, adikku di sebelah. Fikirku, bolehlah kami keluar petang ke tempat kerja dan balik awal pagi. Sambil-sambil tu bolehlah merewang ke tengah-tengah bandar Alor Setar sebelum balik ke rumah. Bila lagi?

"Hang jangan nak menggatai. Mama dah habaq dah kat Cikgu Cek Puteh. Esok lusa hang pi daftaq kat sekolah tu." mak aku membantah."Laa...ingatkan nak bagi option tadi. Rupa-rupanya arahan mandatory." cetus hati aku.

Merah senja di luar tingkap makin pudar. Lebuh raya PLUS nampak kosong. Seperti fikiran aku yang kosong."Apa aku nak buat kat sekolah tu nanti? Dah la kena mengajaq Bahasa Inggeris. Tingkatan 4 ngan 5 plak tu. Sastera lagi. Mampoih." Hati aku terus merungut tak puas hati. Tapi apa boleh buat, arahan mandatori...Habis takat tu...

Bermula episod diri aku diberi peluang mengenali sendiri apakah erti perjuangan memartabatkan anak bangsa dari kaca mata seorang guru, yang dikerah mendidik pelajar luar bandar (kalau boleh aku katakan, sekolah yang aku pergi ini adalah sekolah yang lagi luar daripada ‘luar bandar'. Maknanya sangat- sangat terpencil).

Aku menjadi cikgu ganti, menggantikan seorang guru lain yang cuti bersalin. Dan sekali sekala aku masuk ke kelas-kelas tingkatan yang lain, menjenguk apa yang pelajar-pelajar di sana sedang buat sewaktu ketiadaan guru.Biar aku ceritakan...



Adegan 1:


Biasalah, sesi perkenalan menjadi modal utama untuk cikgu baru macam aku untuk ‘skip' hari pertama daripada kena mengajar. Ni yang berlaku di sebuah kelas tingkatan 5 Sains 1.

" Ok class, My name is Haikal. Your new English teacher here, for 2 months bla..bla..bla."

"Now I would like to know each of you before I begin my lesson. Please state your name, ambition and where are you from. Ok, let us start from you."

" Err...sir. Saya tak pandai cakap Inglis. Bahasa Melayu boleh dak?"

Aku jawab : " Cuba, takpa salah pun. saya pun bukan pandai cakap omputih."

" I is Syahrul (nama rekaan). Yang lain saya tak gheti sir."

"Ok takpa...teruskan. Saya tanya tadi cita-cita dan tinggai kat mana."Dalam hati : "Mampoih, macam mana aku nak mengajaq dalam BI ni? Kalau kelas 5 sains 1 pun tak berapa gheti BI?"



Adegan 2:


Ada satu hari tu, aku kena masuk ke kelas tingkatan satu. Cikgu yang sepatutnya berada dalam kelas tu tak datang. Sekali lagi, sesi berkenalan, sebab aku memang tak disuruh mengajarpun.

"Nama saya cikgu Haikal. Saya masuk mai ganti cikgu Sharifah. Saja nak berkenalan dengan kamu semua. Soghang-soghang bangun dan habaq nama dengan cita-cita. Hah kamu...mula!"

"Nama saya Rosdi. Cita-cita nak jadi..emm...perbaik gheta. Pak saya ada kedai pomen gheta kat pekan."

"OK takpa, kamu!" aku menuding pada seorang pelajar yang berdiri kat pintu, gaya macam nak lari keluar dari kelas.

"Saya...nama Ku Nazim. Cita-citaku nak jaga lemu pak ku" Memang disebut LEMU, bukan lembu. Jawab Nazim serius dalam loghat Kedah hulu yang pekat. Lembu pun kedengaran lemu. Saya diganti dengan ku...bahasa diri kebiasaan bagi orang-orang kampung kat tempat aku.

"Sebab apa nak jaga lembu?""Ku tak tau dey. Pak ku banyak Lemu. Dia pun dok sughuh ku jaga lemu dia."

" Oo...ya ka?" aku menyetujui kata-katanya

Dalam hati : "Bertuah betul orang bandar. Anak-anak semuanya bercita-cita tinggi. Nak jadi doktor, saintis. Paling komanpun polis. Tapi kat sini. Cukuplah kalau boleh warisi apa yang bapak depa ada. Mungkin depa ni masih naif...tapi kalau dibandingkan dengan anak bandar yang sebaya, depa ni jauh naif. Seolah-olah tiada langsung cita-cita."

Dan memang benar, pelajar-pelajar di sini memang datang ke sekolah bukan kerana ingin belajar. Tetapi kerana ingin berjumpa kawan-kawan. Itu sahaja dorongan mereka untuk terus berada di sekolah dari jam 7.30 pagi hingga jam 2 petang. Dan peluang daripada kedatangan mereka ke sekolah itulah yang digunakan oleh guru-guru untuk menumpahkan ilmu yang sedikit buat bekalan anak bangsa ini.Lalu...bagaimana ingin mempunyai cita-cita?



Adegan 3:


Aku diberi amanah untuk menanda kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan English in Science and Technology (EST) - Tingkatan 4 dan 5.Untuk Tingkatan 4...semua gagal (fail) untuk 2 mata pelajaran yang aku tandakan tu.Untuk Tingkatan 5...ada seorang dua sahaja yang lulus ataih pagaq EST. Untuk Bahasa Inggeris, ramai jugak yang lulus tetapi sekadar lulus. Tak lebih dari itu. Itu pun...aku kena jadi seorang pemeriksa yang sangat bermurah hati.

Bila ditanya kepada guru-guru lain tentang perkara itu : "Hah...besa la tu. Budak-budak sini bukan gheti BI. Lepa (Depa/mereka) bukan maupun belajaq BI. Sabit tu (sebab tu) kalau hang tengok budak-budak yang ambik Sains dengan Math dalam BI kat sekolah ni semua tak luluih. Habuk pun takdak." Kata seorang cikgu lelaki, sambil menghisap rokok daun yang digulung sendiri, sewaktu kami bersembang di kantin.

"Kalau dulu, waktu dua-dua subjek ni lepa ajaq dalam BM pun student tak pandai. Ni pulak nak mengajaq dalam BI. Punah anak bangsa hang tau dak Haikal. Lepa ni orang kampung. Satu hapa pun depa tak gheti. Lagi nak suruh belajaq dalam BI. Apa punya otak pun aku tak tau." Sambung cikgu itu dalam nada kesal bercampur geram. Ada juak-juak meluat di mukanya.

"PUNAH ANAK BANGSA" terngiang lagi perkataan tu dalam fikiran aku sampai sekarang.



Adegan 4:


Satu hari tu, aku masuk mengajaq BI kat dalam kelas tingkatan 4 Perdagangan. Ada 4 orang pelajar lelaki sewaktu aku sedang mengajar di depan, depa dok berkumpul 4 orang dalam satu bulatan kat belakang.

"Tu kat belakang, hangpa tengah buat apa tu?" Aku dah tak cakap Inggeris lagi dah dalam kelas (Pelik kan? Mengajar Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu. Tapi apa boleh buat... payah...susah. Kesian dengan mereka yang tak faham apa-apa).Ada budak lain yang tolong jawabkan soalan aku tu, tapi dalam keadaan yang separuh berbisik:

"Depa tengah main Sing-Kong Sir."

"Menatang apa tu?" aku bertanya kehairanan.

"Judi!" (Sing-kong: lambung duit syiling, pastu pakat-pakat teka kepala ka ekoq. Sapa betoi dia dapat duit syiling tu)

"Budak-budak kat belakang! Baik hangpa berenti sebelum saya panggil PK HEM. Kalau tak mau belajaq, Hangpa dok diam-diam kat belakang. Tidoq!" Tegas aku dalam nada separuh bengang.

"Ok sir." Jawab seorang dari mereka dalam keadaan senyum. Aku hanya mampu geleng kepala dan teruskan pengajaran "Mari Mengenal Bahasa Inggeris"

"Ok kelas...kalau I...padan dengan Am"

"I am"

"Kalau he atau she yang maksudnya Dia...padan dengan Is"

"He is"

Itu antara situasi-situasi yang berlaku di luar bandar. Ops...di luar lagi daripada luar bandar. Sekolah tempat aku mengajar tu, ada antaranya pelajar Siam. Memang di utara Kedah ramai orang Siam dan anak-anak mereka ini dihantar ke sekolah-sekolah kerajaan, macam juga orang melayu.



Berdasarkan secebis kisah benar yang diceritakan di atas, apa pendapat dan pandangan para pembaca sekalian tentang isu PPSMI. Ini bukan isu politik, ini isu anak bangsa. Isu masa depan anak-anak kita.



Anda ketawa atau kasihan melihatnya?


BUKU TERBARU

Saturday, March 14, 2009

RAHSIA KEMATIAN, ALAM BARZAKH & ROH
Harga : RM 20

Penulis : Ustaz Ahmad Adnan
Terbitan : Wawasan Ummah

Ketentuan Allah Adalah Takdir Yang Terbaik

copy & paste.nice story ;)

Tanyalah kepada mana-mana pelajar sekolah agama, aku yakin dan pasti, tidak sampai suku pun daripada mereka yang menyebutkan UiTM adalah cita-cita mereka untuk mengecapi kehidupan sebagai seorang mahasiswa/siswi. Bagi mereka, UiTM adalah tempat terakhir, sekiranya sudah tiada pilihan lain lagi.

Kebanyakan mereka, setidak-tidaknya bercita-cita untuk menyambung pengajian di kolej matrikulasi,dan majoritilah yang bermimpikan universiti-universiti luar negara. Begitu jugalah aku pada waktu dahulu, bukan sahaja tidak menyebut nama UiTM, bermimpikan universiti yang dikatakan benteng terakhir orang melayu itu juga tidak pernah!

Tapi perancangan Allah itu yang terbaik, walaupun kita rasa pahit sekali untuk menerimanya. Dalam borang UPU, aku memenuhkan kelapan-lapan pilihan universiti dengan nama UIA sahaja, dalam bidang undang-undang, tapi tawaran awal ke Kolej Matrikulasi Melaka dalam jurusan Sains Hayat, membuatkan aku tidak sabar-sabar untuk mengembara dalam dunia seorang pelajar kolej.

Tapi, aku telah membuat satu keputusan yang salah, setelah hampir satu semester aku menjadi warga Londang, minat aku dalam bidang undang-undang tak pernah padam, dan rasa menyesal yang teramat kerana tidak menunggu keputusan UPU keluar.

Jadi, untuk merealisasikan cita-cita, pilihan terakhir yang aku ada hanyalah memohon untuk menjadi pelajar pra-ijazah undang-undang, UiTM. Dan, dengan takdirNya, tanpa sempat menghabiskan tempoh setahun di kolej matrikulasi, aku bergelar mahasiswi UiTM pula, dengan hati yang tidak gembira tentunya.

Hati aku asyik membandingkan diri dengan rakan-rakan yang lain, yang berada di universiti yang lebih baik-bagi aku pada masa itu. Aku berasa sungguh cemburu dengan sahabat-sahabat di UIAM, sahabat-sahabat yang akan terbang, dan aku berkali-kali juga berasa kesal dengan keputusan aku dulu.

Yang lebih memenatkan, para pensyarah akan bertanya, "Why are you here and not in somewhere else?" Tapi, hari demi hari, aku cuba menerima, dan belajar mengenai perkara baik-baik tentang UiTM, dan juga belajar untuk memahami hakikat kehidupan di UiTM.

Aku hanya dikelilingi 'orang baik-baik' di sekolah dan di kolej, tapi bila berada di persekitaran UiTM, aku jadi terkejut. Buat pertama kalinya aku melihat kawan-kawan perempuan, dengan 'selamba' pergi kemana-mana tanpa menutup aurat dengan sempurna,memakai seluar pendek apabila turun ke kedai runcit. Aku berasa janggal sekali.


Aku juga berpengalaman tinggal sebilik dengan seorang rakan yang sedari awal lagi memesan supaya aku jangan sekali-kali menasihati dia supaya bertudung. Pada awal-awal kehidupan di situ, hati aku sangat susah, selalu berprasangka buruk dengan orang yang tak macam aku. Hati selalu menganggap, diri akulah yang terbaik dalam kalangan mereka. Aduh, betapa 'kurang bersihnya' hati aku!

Tapi, setelah beberapa lama, aku serasi dengan kehidupan di UiTM (bukan bermaksud aku meredhai kelakuan pelajar di sini). Aku semakin mengerti untuk meladeni sahabat-sahabat yang tidak sama seperti kita. Aku juga semakin faham tugas aku sebagai dai'e.

Pengalaman sehari-hari juga mengajar aku supaya tidak 'under-estimate' orang lain dan jangan 'overrate' diri sendiri. Aku hidup dalam kalangan mereka, barulah aku tahu, ramai mereka tidak begitu mengerti tentang asas-asas fardhu ain, malah ada yang pernah bertanya, kenapa kita diwajibkan memakai tudung?

Allah 'mencampakkan' aku ke UiTM juga, untuk mengajar aku menyucikan hati. Bagi aku, orang-orang yang berpeluang belajar ilmu agama lebih sedikit dari orang yang lain, Allah uji dengan hatinya sendiri. Mereka juga mudah menghukum perbuatan orang lain.

Aku teringat kepada kisah seorang senior aku yang pada zaman sekolahnya memakai tudung labuh dan berpurdah, dan memarahi adik-adik yang bertudung tiga segi, tapi setelah dia memasuki alam universiti, di universiti islam pula, dia telah berpakaian seperti apa yang pernah dilarangnya dahulu!

Aku pernah berasa begitu pedih, apabila sewaktu aku mengikuti satu trip, yang kebanyakan pesrtanya adalah ahli persatuan Islam, ada satu suara berkata, "Amboi, dahla ikut trip macam ni, pakai selendang aja", dengan nada sinikal kepada salah seorang peserta yang 'free-hair' dan hanya melindungi rambut dengan selendang saja.

Bagi aku, amat tidak patut seorang naqibah bersuara begitu. Sepatutnya, dia mesti memberikan kata-kata yang positif, mudah-mudahan rakan perempuan itu lebih bersemangat untuk menutup aurat dengan lebih sempurna.

Aku selalu juga dihujani dengan pertanyaan dan pandangan tentang sikap golongan orang yang aktif dalam dakwah ini. Kata mereka, kebanyakan kakak-kakak yang bertudung labuh tidak mesra, mudah memandang serong pada mereka. Dan setiap tindak tanduk mereka jadi serba tidak kena pada pandangan kakak-kakak dakwah tadi.

Malah, aku juga pernah dituduh keliru identiti kerana terus bersahabat rapat dengan bermacam-macam orang, dan berlainan agama pula! Berada di UiTM juga, membuatkan aku makin mengerti, mahalnya sekeping hidayah, dan sebuah peluang.

Waktu bersekolah dahulu, aku cepat bosan dengan sesi ceramah, usrah, qiamullail, tapi di sini aku merindui semua perkara tersebut.Kalu dulu, aku 'lari-lari' dari berusrah, sekarang aku sendiri yang mencarinya. Aku juga bersyukur kepadaNya, kerana memberikan aku sedikit kefahaman tentang agama, berbanding dengan sebilangan kawan-kawan aku.

Hidup di sini juga, melatih aku untuk meneguhkan hati, kerana cabaran di sini bukannya sedikit. Aku juga berpeluang untuk mengenali jenis-jenis manusia di sini, dari seorang yang baik sampailah hidup tidak berpedoman. Dari yang bertutup litup, sampailah kepada yang seksi-meksi.

Yang paling tidak dapat aku lupakan, aku pernah di'reject' oleh seorang ibu kerana aku bukan dari universiti Islam, hanyalah anak didik UiTM! Semua itu membuatkan aku makin mahu membuktikan, hidup dalam suasana yang bukan bi'ah solehah tak akan sekali-kali menjerumuskan aku ke dalam kehidupan yang gelap. Aku ingin sekali membuktikan pelajar UiTM masih ramai yang menjaga adab dan akhlaknya.

Apa yang aku ingin kongsikan di sini, setiap apa yang Allah aturkan pada kita, mesti ada hikmah yang teramat besar buat kita. Rahmat disebalik ujian itu, mungkin lambat, mungkin cepat dapat kita rasai. Aturan Allah itu sungguh indah, walaupun kita menafikannya. Mungkin, kalau aku berada di UIAM contohnya, aku tidak berpeluang untuk berdikari dan belajar merendahkan hati seperti hari ini!




BOIKOT

Sunday, March 08, 2009
Apakah alternatif ???




Alkisah Laksamana Do Re Mi

Thursday, March 05, 2009
"Pada tahun 1972 Allahyarham P.Ramlee barangkali telah meramalkan apa yang bakal terjadi di Perak pada tahun ini. Peristiwa Sidang DUN bawah pokok pagi semalam telahpun dikisahkan oleh P.Ramlee dalam filem Laksamana Do Re Mi.
Pemerintah sah kerajaan negeri Pasir Dua Butir bersama beberapa menteri yang masih setia terus mendirikan kerajaannya di bawah pokok selepas negeri tersebut di landa huru hara angkara Menteri Pasola yang membuat khianat.

Menteri Pasola ialah bekas Menteri Pertahanan yang ingin memperisterikan puteri Tuanku pemerintah negeri Pasir Dua Butir,tetapi lantaran tidak diperkenankan ,Pasola bertindak merampas kuasa dan melarikan puteri Tuanku.
Menteri yang huru harakan Perak sekarang pun bekas Menteri Pertahanan juga!
Dengan bantuan 3 pendekar ,Laksamana Do Re Mi yang diutuskan Raja Damsyik Jani dari negeri Pasir Berdengung telah dapat membantu mengembalikan pemerintahan yang sah kepada kerajaan negeri Pasir Dua Butir.

"Dinding dinding istana pun habis dikopak sampai bumbung pun tak de lagi ,ada ka patut?",cerita seorang Menteri yang terselamat." Tak patut,tak patut",jawab ketiga tiga Laksamana Do Re Mi."Sungguh kejam Menteri Pasola ,akai pun tak dak!",tambah menteri tersebut Angkara Menteri Pasola lah,DUN Perak dikunci dikawal polis,nak bersidang pun tak boleh,bersidanglah dibawah pokok .Ada ka patut?Tak patut ,tak patut!

"Kenapa Tuanku tak lari bersembunyi? ",tanya salah seorang Laksamana."Dato Laksamana Kalau Tuanku lari beerti negeri ini tak bekerajaan lagi,kami dato dato yang tertunggul di sini menjadi batu asas menandakan kerajaan Dua Butir ini dok ada lagi,kalau tidak kamipun dah lama blah!".

Tahniah kepada Menteri Besar Perak YAB Hj Nizar serta seluruh Exco dan YB Pakatan Rakyat yang terus bertahan walaupun di bawah pokok.Maka tahu lah rakyat Perak mereka masih ada kerajaan negeri lagi.

Bersabarlah, terus pertahan kerajaan yang sah,sampai masanya Menteri Pasola yang ada kekebalan itu akan mati juga .Carilah buluh runcing dan cucuk pada kakinya.Akan tamatlah riwayat Menteri Pasola itu.

Tiga orang,Laksamana Do Re Mi juga bakal turun ke Perak untuk membantu.Siapakah mereka?Tungguu. .


Hidup Perlukan Cabaran

Sunday, February 22, 2009


Suatu hari Armin duduk di tingkap melihat sebiji kepompong tergantung-gantung pada ranting pokok bunga. Kanak-kanak berusia lapan tahun ini memerhatikan lubang kecil yang terdapat pada kepompong tersebut. Setelah beberapa jam menanti, keluar kaki-kaki halus seekor rama-rama dari lubang berkenaan. Tanpa berputus asa rama-rama menolak badannya keluar tapi kelihatan amat payah sekali untuk meloloskan diri. Akhirnya rama-rama itu berhenti . Ia tidak berdaya lagi. Kasihan melihat serangga itu, Armin mengambil gunting dan membesarkan lubang kepompong tersebut. Keluarlah seekor rama-rama cantik tapi sayapnya terkatup. Amin menanti rama-rama itu mengembangkan sayap yang bewarna kuning, biru dan hitam. Dia tidak sabar hendak melihat serangga berkenaan terbang dari kuntuman bunga ke bunga yang lain untuk menghisap madu. Tapi apa yang Armin harapkan tidak tertunai. Rama-rama itu terlalu lemah. Ia hanya boleh merayap dari ranting-ranting, mengheret badannya yang besar penuh sukar. Akhirnya ia jatuh ke tanah.


Saudara…
Niat Arman memang baik tapi kanak-kanak itu tidak faham fitrah perjalanan hidup ini. Secara semula jadinya rama-rama memerlukan masa berjam-jam sebelum berjaya keluar. Pergelutan itu adalah proses semula jadi supaya badan dan sayapnya cukup kuat apabila bebas dari kepompongnya. Rama-rama yang keluar dari kepompong sebelum sampai waktunya samalah seperti bayi yang lahir tidak cukup bulan. Begitulah kehidupan ini.Perjuangan dan tekanan itu amat penting. Jika semuanya berlaku dengan mudah tanpa sebarang rintangan, ia akan membuatkan kita lemah. Kita tidak akan menjadi kuat, matang dan bertenaga untuk mengharungi hidup ini. Malah kita tidak boleh terbang langsung.

Oleh itu,jadikanlah setiap rintangan sebagai satu peluang untuk kita terus mengorak langkah positif dalam menghadapi hidup.

dipetik dari iluvislam.com

Selawat Tafrijiyah

Saturday, February 21, 2009
Taman yang indah ialah yang dihiasi dengan pelbagai bunga. Jika hanya satu jenis bunga, tidak berseri taman. Begitu lah indahnya Fiqh Islam dengan kepelbagaian pandangannya. Terserah kepada kitalah untuk memetik mana satu bunga pilihan kita. Yang tidak kita petik, jadikan ia hiasan mata kita. Itu pun jika kita mampu memetik. Jika tidak mampu memetik, jadikan ke semuanya sebagai hiasan mata.

Pisang

Wednesday, February 18, 2009

Siti, guru kelas PASTI menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Siti. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Siti sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Siti. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Siti.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci. Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

CERITA SEEKOR KUDA DAN SEMUT

Monday, February 16, 2009

PADA suatu hari, seekor kuda sedang beristirehat kerana merasa kepenatan setelah memikul barangan yang membebankan.

Beban yang cuma sebesar setengah daripada punggungnya itu telah diletakkan dipunggungnya oleh majikan kuda itu.

Perjalanan yang begitu berat ditambah pula hari yang begitu panas terik, maka kuda itu pun beristirehat di pohon rendang, dengan nafas yang termengah-mengah dan mulutnya berbuih-buih.

Ketika kuda itu sedang beristirehat tidak sengaja lalulah segerombolan semut yang kelihatan sedang bernyanyi-nyanyi dengan riang gembira sambil membawa makanannya juga.

Sambil membawa beban masing-masing, ada yang membawa bangkai, tulang-tulang binatang termasuk cebisan-cebisan ayam dan sebagainya lagi.
Kuda itu itu terasa kehairanan apabila melihat segerombolan semut itu senang hati dengan riang gembira bernyanyi-nyanyi.

Semut juga melihat kuda terduduk dalam keadaan kepenatan.
Sebaik sahaja menghapiri kuda tersebut, pimpinan semut itu bertanya kepada kuda, “hai kuda, apa yang sedang kau lakukan di sini.”

“Saya sedang berehat wahai semut,” jawab kuda.

“Kenapa kau kelihatan begitu penat sekali,” tanya semut lagi.

“Itulah dia saya begitu penat sekali sebab membawa beban ini, beban yang tidak sebesar badanku ini tapi tersangatlah penat bagiku,” jawab kuda itu lagi.

Maka semut itu pun bertanya, “punya siapakah beban yang kau bawa itu, wahai sang kuda?”

Maka kuda pun menjawab, “punya bosku yang ada di sana yang sedang minum dan makan-makan di bawah pohon itu.”

“Oh begitulah ceritanya,” kata sang semut tersebut sambil tersenyum.. Sang kuda berkata, “eh! Kamu semua kenapa begitu gembira?” kata sang kuda kepada sang semut tadi.

“Kami memang begini setiap hari. Kami juga membawa beban yang berat bahkan lebih berat dari badan kami tetapi kami rasa gembira sekali.”

“Kenapa boleh jadi begitu ya?” tanya sang kuda dengan rasa hairan.
Ketua semut itu diam sejenak lalu berkata: “Barangkali kerana kita mempunyai jurang perbezaan wahai kuda.”

“Apa itu perbezaannya?” tanya kuda.

“Kamu membawa beban yang berat tetapi beban yang berat itu bukan kepunyaanmu, punya majikanmu yang sedang makan minum di bawah pohon sana sedangkan kami semua membawa beban memang lebih besar daripada badan kami tetapi beban-beban ini adalah punya kami sendiri, bukan punya bos kami,” demikian penjelasan semut itu.

Kuda itu termanggu-manggu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetap seekor kuda.

Apa moral dari cerita ini, barangkali kita pernah mendengar: “Saya tidak pernah berhenti, saya tidak akan menyerah.” Mengapa orang-orang yang sudah punya penghasilan yang begitu besar tidak pernah penat, tidak pernah menyerah.

Jawapannya cuma satu kerana mereka membawa beban yang dimiliki oleh mereka sendiri, bukan milik orang lain. Ini juga adalah ciri yang paling jelas mengenai perbezaan antara orang yang menjadi usahawan dengan orang yang bekerja makan gaji.

Jangan Bersedih atau Terkilan

Thursday, February 05, 2009
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Mengeluh Hanya Memenatkan (مڠلوه هاڽ ممنتكن )

Wednesday, January 28, 2009
Lazimnya kita sering mengeluh apabila kita kepenatan, kesedihan, kelelahan, kemiskinan dan pelbagai rasa malang lagi. Lalu mengeluh menjadi satu cara yang kita anggap akan mengurangkan rasa malang seperti ini. Hakikatnya, apabila kita mengeluh kita tidak melakukan sesuatu yang lain melainkan kita hanya memenatkan lagi diri kita.

Pelbagai cara yang tidak kita sedari adalah satu dari bentuk keluhan. Berdengus, menangis, berleter, menghentak barang, menengking-nengking semua itu menggambarkan sifat tidak sabar kita. Dengan melakukan semua itu, kita hanya mengheret jiwa kita untuk berasa lebih malang lagi.

Ketika mengeluh, kita membawa jiwa kita untuk mengimbau kesusahan dulu. Sebagai contoh, setelah dikhianati oleh seseorang, anda akan terkenang-kenang bantuan anda kepadanya dahulu. Ketika isi rumah anda tidak membantu kerja rumah anda, anda mula berleter-leter dan menghempas barang sambil mengungkit hanya anda seorang yang mahu melakukan semua itu.

Tatkala mengeluh, itu hanya menggambarkan bahawa kita ini bukanlah seorang yang penyabar. Orang yang penyabar, sekalipun mahu mengadu hanya kepada ALLAH SWT jualah tempat untuk mengadu. Di masa lainnya, orang yang penyabar adalah orang yang tenang dan menenangkan.

Memang sukar untuk sampai ke tahap ini. Kadangkala kita perlu berjuang berhabis-habisan untuk meredakan perasaan marah dan tidak puas hati. Tidak ada salahnya andai anda cuba untuk meluahkan perasaan tetapi biarlah dalam bentuk yang berhemah dan bertimbang rasa.

Apa yang perlu kita ingat adalah kita dan manusia di sekitar kita hanyalah manusia yang penuh dengan kelemahan. Kita tidak akan sentiasa berpuas hati dengan orang lain sebagaimana orang tidak selalu berpuas hati dengan kita. Oleh itu jangan cuba menimbulkan atau memanjangkan masalah agar diri kita akan lebih dihormati.

SEMEKAR

Monday, January 19, 2009

Seminar Melangkah Ke Alam Remaja (SEMEKAR)
سمينر ملڠكه Ùƒ عالم رماج ﴿سمكر﴾
25 Jan 2009
RM 10 sahaja

Aktiviti : Kuliah, LDK & Praktikal
(Perubahan Fisiologi, Psikologi & Akhlak)
serta
(Persediaan ke Alam Remaja)

Learning

Wednesday, January 07, 2009
"Learn from those who know more, learning process takes time, better learn something than without doing anything" “You need time to learn. You need time to make mistakes. You need time to learn from mistake. You need time to rebound back. You need time to grow.”


Learn to fly

DEMONSTRASI AMAN

Friday, January 02, 2009
TEMPAT : MASJID PUTRA, PERLIS
MASA : SELEPAS SOLAT JUMAAT

Salam Maal Hijrah

Sunday, December 28, 2008
Perjuangan ibarat tiram di laut
dihiris peparis tercalar ia
sungguhpun terluka tapi dipendam
sungguhpun pedih tapi disimpan
namun akhirnya dibalas MUTIARA

Salam Maal Hijrah

MENGAPA MESTI ADA DUGAAN?

Thursday, December 25, 2008
Mengapa dalam hidup kita mesti ada dugaan, mesti ada masalah dan mesti ada cabaran,walaupun kita tak pernah minta.

Walau apa jua masalah, musibah dan malapetaka yang melanda Anda, jangan mudah menyerah kalah dan hanya tahu menyalahkan nasib. Ini dugaan dari Tuhan, untuk menguji sejauh mana keimanan kita dan supaya kita menjadi lebih kuat menghadapai segala cabaran yang mendatang di masa hadapan.

Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Dalam kesusahan ada kesenangan dan kesusahan tu mengajar kita untuk menjadi seorang yang kental, kuat semangat dan tabah . Orang-orang yang kuat berusaha dijanjikan kejayaan dan kesenangan, mereka berhak menerimanya kerana telah mencuba sehabis daya.

Mengapa mesti ada dugaan dalam hidup? Ia untuk mematangkan, mendidik dan membuat kita berkembang dari segi mental, spiritual dan jati diri. Tanpa dugaan hidup, takkan ada adventure, kematangan dan ‘next level’ dalam perjalanan hidup kita.

Dugaan muncul dalam segenap aspek, tak kira kecil atau besar, ia memang akan tetap ada. Tak kira dalam kewangan, pekerjaan mahupun perhubungan.

Kita takkan terlepas dari buat silap, tapi dari kesilapan itu, kita belajar sesuatu yang mungkin takkan kita jumpa bila hidup kita asyik senang tanpa sedikitpun cabaran. Otot tubuh badan kita, jika dilatih akan menjadi semakin kuat.

Ini sama juga dengan ‘otot’ dalam diri kita, iaitu minda, spiritual, jiwa dan roh kita. Semakin dilatih, semakin kuat.

Dugaan dan cabaran dan masalah datang untuk ‘melatih’ jiwa kita menjadi semakin kuat, sepertimana otot fizikal yang ada pada tangan, kaki kita. Kesannya, Anda jadi matang, bijak dan mampu membuat keputusan dengan berhemah, bukan yang kelam kabut, panik atau bingung.

Jadi, jangan sesekali menyerah kalah pada masalah. Mesti ada cara untuk menyelesaikannya.

Anda hanya perlu berusaha dan yakin dengan petunjuk Yang Maha Esa. Lihat orang-orang yang berjaya, mereka tak pernah menyerah kalah bahkan tak nak menyerah kalah, tapi merubah strategi untuk menang bila berdepan masalah.

Sesusah susah Anda, ada lagi orang yang lebih susah dari Anda. Bersyukur dan berusaha memajukan diri adalah 2 perkara terbaik yang patut Anda lakukan sekarang ini. Akhir kata, jangan jadikan masalah sebagai penghalang kemajuan diri.

Di bawah ni klip video untuk inspirasi. Moga ia membangkitkan semangat dan memberi motivasi.



PERJALANAN HIDUP PENUH BERLIKU

Perjalanan setiap manusia pasti ada pahit dan manis…ada yang mampu membuat hati menangis…ada yang mampu mengembirakan hati…pabila datang yang menggembirakan hati…manusia ini terleka dan terlupa…bahawa itu salah satu dugaan dari Yang Maha Esa…pabila datang yang membuat hati menangis…manusia juga terlupa bahawa Dia sedang menguji kita…kita manusia harus sedar dan tahu…tidak setiap apa yang kita inginkan itu adalah yang terbaik untuk diri kita…dan kita juga harus tahu bahawa…setiap apa yang kita perolehi tetapi tidak kita sukai nya…mungkin itulah yang terbaik untuk diri kita…hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya…walau apa dugaan dan cabaran yang mendatang…hidup perlu diteruskan…walau bagaimana kita rasa tidak bergunanya diri ini…hidup perlu diteruskan…walau macam mana hancur sekali pun hati ini…hidup perlu diteruskan…walau seteruk mana hati menangis…hidup perlu diteruskan…walau apa pun yang berlaku hidup perlu diteruskan….

Jangan biarkan diri anda kesal dan jangan pernah anda berprasangka bahawa anda mampu menghentikan dinding supaya tidak jatuh, menahan air supaya tidak mengalir, menahan angin supaya tidak bertiup dan menjaga kaca supaya tidak pecah. Ini adalah tindakan dan sikap yang tidak benar, walaupun hak itu tidak kita inginkan. Apa yang telah ditentukan tetap terjadi. Apa yang diputuskan tetap akan berlaku. Apa sahaja yang telah ditulis oleh Allah tetap akan terlaksana. Allah berfirman:

Ertinya:”Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan barangsiapa yang ingin (kafir) maka biarlah ia kafir.” Surah Al-Khafi: ayat 29


Jangan terlalu Prejudis

Wednesday, December 10, 2008
Satu artikel yang bagus..Tiada kaitan yang hidup mahupun yg blum mati ('',)

Sebagai seorang doktor yang tugasnya menyelamatkan nyawa manusia,tentulah saya merasa bangga dengan profesion saya ini. Sememangnya inilah cita-cita sebenar saya selama ini. Etika dan sikap profesionalisme sering saya amalkan. Apatah lagi saya juga seorang pensyarah di Pusat Pengajian Perubatan di salah sebuah universiti terkemuka. Saya sering menanamkan dan menekankan aspek insaniah dalam diri bakal-bakal doctor yang merupakan pelajar saya.

Suatu hari yang ditakdirkan Allah, saya di ajar tentang suatu nilai yang saya terlupa oleh seorang mat rempit.

Saya menoleh jam loceng saya. "Ah….baru 3am dan saya baru terlena hanya 2jam sahaja." Tapi,apakan daya kerana tugas,saya terus mencuci muka dan terus menggapai kunci kereta saya. Inilah rutin seorang doltor yang kita kenali sebagai `on call`.

Setelah memecut kenderaan saya,akhirnya saya tiba di bilik kecemasan. Ada satu kes kemalangan. Seorang penunggang cedera parah dan pemboncengnya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tolong doktor..Tolong selamatkan kawan saya," rayu seorang lelaki muda berseluar jean yang koyak dibahagian lututnya. Inilah trend pakaian mat rempit. Setelah 4 jam dibilik pembedahan,mangsa berjaya diselamatkan dan kaki kanannya terpaksa dipotong. Entah mengapa hari itu,terlintas bisikan syaitan dalam hati saya yang menyatakan`you deserve to get it`. Astaghfirualallahal azim, sebagai seorang doktor,saya tidak harus meletakkan prejudis saya sebagai prioriti dalam merawat pesakit. Melihat pesakit saya dari sudut siapa dia sebenarnya adalah salah. Hal ini kerana, dalam merawat dan meyelamatkan pesakit,nyawa setiap manusia begitu bernilai walaupun pada pandangan kita atau sesiapa,dia bukanlah apa-apa.

Keesokan harinya,saya pulang dari hospital agak lewat malam. Kepenatan benar-benar menyebabkan saya tidak sabar untuk tiba di rumah.

"Ah….lampu merah pula!!" Maka saya terus menekan pedal brek dan menunggu giliran sambil mata saya tertumpu pada suatu peristiwa yang menarik. Saya melihat seorang lelaki yang koyak jeannya dilutut menunggang dengan laju melanggar lampu merah tanpa rasa bersalah. Dalam hati saya berdetik "sah mat rempit lagi. Tak ada kerja lain ke selain menyusahkan orang lain." Tiba-tiba saya melihat pemuda itu berhenti,menongkat motornya dan berjalan kedepan.

Saya benar-benar malu pada diri saya sendiri melihat pemuda itu mengambil bangkai kucing yang saya kira baru saja dilanggar petang tadi,mengalihkannya ke tepi jalan agar tidak dipijak hina oleh kenderaan lain.

"Allahuakbar."

Saya benar-benar tersedak dengan bisikan hati kecil sendiri. Saya rasakan diri ini sangant mulia apabila menyelamatkan nyawa manusia,tapi tidak terlintas dan tidak sanggup membela bangkai binatang itu padahal ia juga suatu nyawa yang harus dihargai dan dimuliakan. Sedangkan dia seorang mat rempit yang mungkin tidak menghargai nyawanya sendiri boleh meletakkan nilai harga nyawa seekor binatang pada aras yang tinggi. Sesungguhnya Tuhan sedang mengajar saya sesuatu.

Sesungguhnya saya telah belajar sesuatu dari seorang mat rempit. Kemuliaan seseorang itu bukan terletak pada berapa besar dan tingginya jasa dan sumbangan pada sesuatu tetapi dinilai dari berapa besar seseorang itu mengerti makna kewujudan sesuatu dan menghargai.

Ini bukan kisah yang memberi pengajaran bahawa kita juga boleh menjadi mulia walaupun seorang mat rempit,lantas menanam cita-cita untuk menjadi kaki rempit. Namun cerita ini membawa pengajaran bahawa kita tidak boleh terlalu berbangga dengan diri sendiri dan membiarkan prejudis membezakan diri kita dengan golongan lain. Sikap prejudis akan mengurangkan etika dan meruntuhkan sikap profesinalisme yang ada dalam diri kita..


Back To School

Tuesday, December 09, 2008

Cawan VS Air

Friday, November 28, 2008
SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.


Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: ”Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! “Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:

# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.

dipetik : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1271